۞ PENGIKUT

Friday, December 31, 2010

PERTANDINGAN: Debat Diraja Antara IPTA 2010

Pertandingan Debat Diraja Antara IPTA 2010 telah berjaya dilaksanakan pada 17 Disember 2010 sehingga 22 Disember 2010. Universiti Tun Hussien Onn (UTHM) telah terpilih untuk menjadi tuan rumah bagi Pertandingan Debat yang berprestij ini dengan kerjasama Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (MADUM).


Delegasi Pasukan Debat Bahasa Melayu UPSI


Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menghantar 3 pasukan untuk kategori Debat Bahasa Melayu, 2 pasukan untuk Kategori Debat Bahasa Arab dan Debat Bahasa Inggeris. Delegasi UPSI ke pertandingan Debat Diraja kali ini menunjukkan perkembangan positif dalam memajukan lagi bidang seni orator Universiti.


Pasukan Utama 1 dari kiri: Kadir, Baehaqie, Fazila dan Anies



Dalam Kategori Utama Bahasa Melayu, Pasukan Utama 1 UPSI yang dibarisi oleh Ahmad Baehaqie bin Mohd Yunos, Nor Fazila binti Asirnar, Nadia Fitriyana binti Ahmad Narzaray dan Mohd Kadir bin Ali telah memberi saingan dalam pertandingan dengan memenangi 3 daripada 6 perlawanan saringan.



Pasukan Utama 2, dari kiri: Faizal, Ihtifazudeen, Fawiz dan Aini
Sesi Kuarantin selama 30 minit


Begitu juga dengan Pasukan Utama 2 UPSI yang digandingkan kali kedua selepas kejohanan Debat Terbuka Astar iaitu Mohd Faizal Azmi, Muhammad Fawiz bin Bakri, Noraini binti Ahmad dan Mohd Ihtifazudeen bin Ridzuan juga telah memenangi 3 daripada 6 perlawanan saringan.


Biarpun kedua-dua pasukan tidak berjaya melangkah ke peringkat yang lebih tinggi, namun keadaan tidak mematahkan semangat mereka untuk berjuang sehabis daya. Menang kalah adalah adat pertandingan dan mereka percaya pasti akan ada rezeki di masa hadapan.




Delegasi Pasukan Debat Bahasa Arab UPSI
Majlis Malam Anugerah MADUM


Dalam kategori Bahasa Arab pula, untuk Kategori Utama, Pasukan Debat Bahasa Arab UPSI dibarisi oleh Rozielah binti Azmi, Wan Mohd Adam bin Abd. Halim, Khairul Hanis binti Nazarudin dan Faisal bin Ibrahim telah membanggakan UPSI apabila berjaya melangkah ke peringkat suku akhir biarpun baru pertama kali mewakili Universiti dalam Pertandingan Debat Bahasa Arab.

Dengan kejayaan ini, diharapkan akan akan membakar lagi semangat mereka untuk menimba pengalaman dan mencari rentak dalam seni pengucapan awam demi nama Universiti.



Pendebat Bahasa Arab yang berpotensi


Kejayaan mereka bertambah manis apabila pasukan Muda Debat Bahasa Arab UPSI yang diwakili oleh Nazilah binti Said, Muhammad Maghfur bin Ibrahim Akhibi, Nurazizah binti Maafop, Siti Naquiyah binti Mohd Suyut turut berjaya melangkah ke peringkat Suku Akhir. Dengan kejayaan ini telah membuktikan mereka berpotensi besar untuk melangkah ke peringkat yang lebih jauh dalam bidang seni orator.




bergambar kenangan sekitar UTHM

Thilaga, Sanjay dan Fawiz

Selepas Pertandingan akhir Debat Diraja


Bagi Debat Bahasa Inggeris pula, pasukan Muda UPSI 2 yang diwakili oleh Sanjiya Narayanan Pamusamy, Thilaga Ravinthar, Ter Boon Hoon dan Suria Bhawani Gohbalan telah berjaya memenangi 3 daripada 5 perlawanan saringan. Manakala Pasukan Muda UPSI 1 yang diwakili oleh Hazri Shahreen bin Hashim, Nurul Ain binti Mohd Jamil, Nor Farhana binti Ahmad dan Sangitha Rajandran telah menunjukkan prestasi yang baik dengan memberi saingan kepada Universiti-Universiti yang lain.


Sebelum masuk dewan pertandingan

Dalam Kategori Bahasa Melayu Muda, Pasukan Muda UPSI yang dibarisi oleh Noraini Munawar, Mohd Hisyam Hasim, Mohd Shahril Khasin serta Mohd Idris bin Abdul Ghani yang mengantikan Asmadi bin M Zain . (terpaksa menarik diri atas masalah peribadi). Mereka telah berjaya melangkah ke peringkat Separuh Akhir bagi Kategori Muda. Mereka telah memberi saingan sengit dengan pasukan UiTM muda 2 di peringkat separuh Akhir dengan usul Dewan Ini percaya Modifikasi Genetik Menjejaskan Alam Sekitar. Syabas kepada Pasukan Muda UPSI.


Noraini Munawar

Alumni UPSI/Pendebat Senior yang memberi sokongan penuh.
Nadiah Che Rahim dan Halimatul Saadiah Mohd Akir


Pasukan UPSi juga diserikan lagi dengan kehadiran mantan Pendebat Senior UPSI yang tidak jemu memberi sokongan padu kepada pasukan Debat UPSI. Kehadiran mereka amat dirasai memberi kesan besar kepada mental dan semangat kepada para pendebat UPSI. Kejayaan Alumni Pendebat UPSI sama ada kategori Bahasa Melayu, Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris juga banyak menyuntik semangat kepada Pendebat Muda agar gigih berusaha bagi mencontohi kejayaan yang telah berjaya dicipta oleh mereka di peringkat yang lebih tinggi.





Memetik Kenyataan Ketua Juri Debat Diraja 2010, Dr Ramzah Dambul, (UMS), ada pelbagai mazhab debat di Malaysia, yang dianuti oleh kumpulan-kumpulan tertentu. Dek kerana Orator itu satu seni, tentu sekali ia boleh didekati dari sudut dan dimensi yang berlainan.

Ada yang melihat debat sebagai pertentangan fakta dan pengetahuan sepenuhnya. Ada juga yang suka melihat kepada aspek taktikalnya. Tentang bagaimana pendebat Memanipulasikan elemen mantik dan semantik-untuk menghasilkan bujukan.

Ada juga yang suka pada retorik. Iaitu kepintaran pendebat membuai sentimen, menerusi permainan kata-kata. Jika dikuasai dengan baik, ia juga boleh menghasilkan bujukan yang tinggi.


Pasukan Muda UPSI Mohd Shahril, Noraini, Hisyam dan Mohd Idris


Maka secara dasarnya, Debat Diraja 2010 telah banyak memberi pengajaran dan pengalaman kepada Pasukan Debat UPSI. Ianya bukan memenuhi dua pra-syarat asas iaitu pintar membaca dan mahir mendengar sahaja. Debat ini juga bukan mengenai retorik bahasa dan huraian empirikal semata-mata. Tapi jelas dengan Isu biasa dalam debat iaitu kebanjiran idea. Maka dengan adanya pertandingan ini, kemahiran tertinggi dalam debat iaitu daya selektif dapat dipupuk dalam diri para pendebat.



Selain itu, para pendebat UPSI dapat meningkatkan lagi prestasi dan menguasai isu dan pengetahuan semasa dalam melahirkan warga ibu kandung suluh budiman yang berjaya bukan sahaja dalam kefasihan berkata-kata tapi tajam dalam pemikiran. Sekalung Tahniah kepada Semua Delegasi Pendebat UPSI ke pertandingan Debat Diraja Antara IPTA 2010.


:FB:


1 comment:

  1. cayyok2!!!!!!! moga yang terbaik akan mengiringi kalian semua.

    ReplyDelete